BBC melaporkan, pembalut yang menggunakan teknologi masa sebenar 5G bagi memantau rawatan yang diperlukan dan juga mengesan tahap aktiviti pesakit dibangunkan oleh Institut Sains Hayat Universiti Swansea.

Projek itu merupakan sebahagian daripada perjanjian Swansea Bay City bernilai 1.3 bilion pound (RM7.1 bilion) yang bertujuan mewujudkan hab ujian 5G bagi inovasi digital.

Pengerusi Institut Sains Hayat Universiti Swansea, Prof. Marc Clement berkata, pembalut pintar itu menggunakan teknologi nano untuk mengesan keadaan kecede­raan pada satu-satu masa tertentu.

“Pembalut itu akan menghubungkan kecederaan terbabit kepada infrastruktur 5G dan infrastruktur yang melalui telefon dan akan mengetahui tentang diri anda terutama­nya lokasi dan bagaimana anda aktif pada satu-satu masa,” katanya.

Clement menambah, jika ke­semua maklumat itu digabungkan, doktor akan mengetahui perkembangan tentang kece­deraan ter­tentu sebelum menyesuaikan protokol rawatan untuk individu dan luka berkenaan.

Jelasnya, kaedah perubatan tradisional memerlukan doktor berjumpa dengan pesakit dan memberitahu pendekatan rawatan yang perlu diambil bagi tempoh sebulan atau tiga bulan.

“Apa yang dibawa pada masa depan adalah sebuah dunia di mana ada keupayaan untuk mengubah rawatan kepada individu, gaya hidup dan corak kehidupan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, pakar dalam bidang teknologi nano akan membangunkan sensor kecil sementara pencetak tiga dimensi (3D) di institusi berkenaan digunakan untuk menghasilkan pembalut yang akan mengurangkan kos peranti terbabit.