Mail Online melaporkan, projek yang dinamakan sebagai ‘Marea’ itu dibangunkan hasil usahasama syarikat teknologi Microsoft, Facebook dan firma infrastruktur telekomunikasi, Telxius.

Sistem itu boleh menghantar data merentasi Atlantik pada kelajuan 16 juta kali lebih pantas daripada teknologi sedia ada.

Marea boleh menghantar 160 tera bit data sesaat atau bersamaan dengan streaming 71 juta video definisi tinggi sekali gus.

Sistem berkenaan dijangka mula beroperasi pada awal tahun depan dengan menghubungkan antara Virginia Beach, Virginia di Amerika Syarikat (AS) dan Bilbao, Sepanyol.

Presiden Microsoft, Brad Smith berkata, Marea siap pada saat-saat kritikal ketika kabel dasar laut di Atlantik sudah menampung 55 peratus lebih banyak data berbanding laluan trans-Pasifik dan 40 peratus lebih data berbanding AS dan Amerika Latin.

“Tidak dapat dinafikan lagi permintaan terhadap aliran data di Atlantik akan terus meningkat dan Marea menyediakan sambungan kritikal untuk Amerika, Sepanyol dan seterusnya,” kata Smith.

Microsoft dan Facebook mendedahkan rancangan mereka untuk membangunkan projek kabel dasar laut mega pada Mei tahun lalu de­ngan kerja-kerja pembinaan bermula pada Ogos dan dijangka siap pada bulan depan.