Rumah agam Lincoln House yang menempatkan Konsulat AS dari 1957 hingga 2011 itu dibeli daripada seorang putera yang menjualnya bagi membayar cukai.

Cyrus Poonawa­lla, salah seorang lelaki terkaya di India dan pengasas kilang mengeluarkan vaksin, Serum Institute, telah membeli rumah agam di tepi pantai itu di selatan bandar komersial ini pada harga tujuh bilion rupee.

“Kami memutuskan untuk meneruskan dengan urusan penjualan itu berikutan keadaan pasaran dan harga yang menarik.

“Selatan Mumbai merupakan lokasi yang sangat ideal, masih asli dan harta warisan yang menjadi ikon walaupun bangunan itu mungkin tidak dibenarkan diubah suai,” kata anak lelaki Cyrus, Adar Poonawalla kepada AFP melalui e-mel.

Poonawalla, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Serum berkata, kos keseluruhan termasuk cukai mungkin mencapai lapan bilion rupee (AS$121 juta).

“Proses penjualan dijangka selesai dalam tempoh kira-kira dua bulan dan akan digunakan sebagai kediaman keluarga Poonawalla,” katanya.

Bangunan yang dilindungi itu dibina di Pantai Breach Candy pada 1938 di atas tanah seluas 0.8 hektar dan menghadap Laut Arab.

Lincoln House sebelum ini dikenali sebagai Istana Wankaner sempena nama maharaja yang memiliki istana itu.

Konsulat AS telah berpindah ke bangunan baharu di utara Mumbai pada 2011.

Bagaimanapun, jurucakap konsulat itu enggan mengulas mengenai penjualan Lincoln House. – AFP