Menurut portal berita The Indian Express, Hakim, Narottam Kau­shal me­luluskan tambahan bayaran sebanyak 15 peratus setiap tahun selepas mengambil kira lonjakan besar pendapatan lelaki berkenaan yang tertera dalam dua tahun laporan kewangannya.

“Kedudukannya dalam senarai jutawan terkaya dengan aset berjumlah berbilion rupee se­perti yang diterbitkan dalam majalah Fortune 500, menunjukkan bahawa lelaki itu berasal daripada keluarga ahli perniagaan India yang sangat kaya.

“Pemohon tidak boleh dinafikan hak dan manfaat daripada peningkatan hasil pendapatan bekas suaminya,” jelas Narottam.

Wanita itu, dalam permohonannya yang difailkan melalui peguam bela Manav Gupta, mendakwa bahawa dia telah dihalau keluar dari rumah suaminya pada bulan Mac 2008 dan selepas memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi untuk me­nun­tut wang sara hidup.

Walau bagaimanapun, ketika keputusan petisyen itu belum selesai, suaminya memfailkan kertas pembubaran perkahwi­nan pada bulan Januari 2011.

Wanita itu kemudian membuat permohonan baharu pada 4 Ogos 2011 dan mahkamah mengeluarkan arahan pembayaran sebanyak 75,000 rupee (RM5,006) sebulan.

Jutawan tersebut bagaimanapun mendakwa bahawa dia adalah pengarah di pelbagai syarikat tetapi mendapat gaji bulanan sebanyak 90,000 rupee (RM6,000) daripada satu firma sahaja.