Peserta yang kebanyakannya berpakaian putih serta membawa bendera dengan kalimah tauhid berhimpun untuk solat hajat seawal pukul 3 pagi.

Ribuan polis diletakkan da­am keadaan berjaga-jaga bagi memastikan keamanan perhim­punan berkenaan namun se­galanya berjalan tanpa sebarang kekacauan.

Perhimpunan itu turut dihadiri calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, seorang nasionalis yang mempunyai hubungan kuat dengan kumpulan agama yang mahu menumbangkan Presiden Joko Widodo atau Jokowi dalam pilihan raya Presiden (Pilpres) tahun depan.

Prabowo berkata, Islam di Indonesia adalah cukup membanggakan kerana berjaya me­nyatupadukan ummah.

“Kita bersatu padu dan akan mengekalkan keamanan kepada semua,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan tersebut.

Perhimpunan 212 dianjurkan kumpulan Islam pada 2 Disember 2016 yang menuntut tindakan diambil terhadap bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok yang didakwa menghina Islam ketika kempen pilihan raya Gabenor, September 2016.

Ahok mencetuskan kontroversi dan kemarahan umat Islam apabila menuduh musuh-musuhnya menggunakan ayat suci al-Quran untuk menipu rakyat supaya tidak mengun­dinya dalam pilihan raya kerana dia bukan beragama Islam.

Ketegangan politik dan agama timbul ketika itu hingga menyebabkan Ahok sebagai pe­mimpin Cina Kristian pertama memegang jawatan itu gagal dalam pemilihan semula dan kemudiannya dihukum penjara dua tahun.

Kumpulan Islam tegar telah diharamkan ketika pemerintahan rejim Presiden Suharto sehingga 1998 dan beberapa tahun ini kembali berkembang.

Sementara itu, Jokowi telah memilih seorang agamawan berusia 75 tahun, Ma’ruf Amin sebagai calon Naib Presiden dalam pilihan raya akan datang yang menimbulkan kebimba­ngan sesetengah bahawa beliau melayani pemimpin Islam konservatif dalam negara majmuk bersama komuniti minoriti yang signifikan. – REUTERS