Andre Xavier Justo
Andre Xavier Justo

Menurut peguam Worrasit Piriyawiboon, anak guamnya mendapat pengampunan sempena ulang tahun ke-70 Raja Bhumibol Adulya­dej menduduki takhta dan ulang tahun kelahiran Permaisuri Sirikit.

“Pengumuman mengenai peng­ampunan diraja disiarkan dalam laman web Warta Diraja malam tadi. Saya menghubungi pegawai pemulihan dan beliau mengesahkan bahawa nama Justo berada dalam senarai,” kata Worrasit kepada Bernama hari ini.

Pengampunan itu bermakna Justo yang disifatkan sebagai seorang banduan yang sangat baik oleh pihak berkuasa penjara Thailand akan menjalani hukuman penjara yang singkat kerana hukuman penjara terhadapnya dikurangkan sebanyak satu pertiga.

Worrasit berkata, Justo telah menjalani hukuman penjara setahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan tahun lepas.

Selepas diberi pengampunan diraja, dia hanya akan menjalani hukuman penjara untuk setahun lagi.

Worrasit berkata, bekas eksekutif teknologi maklumat berusia 49 tahun itu mungkin akan menjalani baki hukuman penjara secara parol atau dipindahkan ke penjara lain bergantung kepada syarat-syarat pengampunan diraja.

Justo didapati bersalah pada 17 Ogos tahun lepas selepas me­ngaku cuba memeras ugut PetroSaudi International, yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula pada 22 Jun, hari Justo ditangkap di pulau peranginan Koh Samui di selatan Thailand.

Dia dituduh mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan Thailand yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun dan denda antara 2,000 baht (RM222) dan 20,000 baht (RM2,223). – BERNAMA