Kejadian itu berlaku pada 11 Oktober lalu dengan pihak berkuasa akan memutuskan hasil siasatan terhadap ‘kejadian yang mencetuskan kontroversi’ itu pada minggu depan, menurut Menteri Pengangkutan, Arkhom Termpittayapaisith.

Bangkok Post melaporkan, kejadian berlaku ketika tempat duduk di kelas pertama penuh apabila beberapa penumpang di kelas perniagaan dinaik taraf ke kelas tersebut.

Namun, kedua-dua juruterbang itu menegaskan tentang peraturan industri yang memerlukan mereka mendapatkan rehat mencukupi sebelum memulakan kerja dan tempat duduk di kelas pertama merupakan sebahagian daripada peraturan.

Seorang juruterbang lain ber­kata, kedua-dua mereka ber­ada di pihak yang benar apabila mendakwa memiliki hak untuk duduk di kelas pertama sekiranya ada kekosongan.

Namun, kakitangan sokongan dipanggil untuk menjelaskan mengapa tiada tempat duduk di kelas pertama disediakan bagi juruterbang berkenaan.

Penerbangan Zurich-Bangkok biasanya menggunakan pesawat Boeing 777, yang hanya mempunyai tempat duduk perniagaan dan ekonomi, namun pesawat itu tidak berfungsi di Zurich menyebabkan syarikat penerbangan menggunakan Boeing 747.

Pesawat 747 menawarkan tempat duduk kelas pertama dan juruterbang tersebut menyatakan mereka layak, namun kakitangan di kaunter tidak menukarkan penumpang yang dinaik taraf itu kembali ke kelas perniagaan.

Pertengkaran itu menyebabkan penerbangan tergendala sehingga dua penumpang secara sukarela kembali ke tempat duduk kelas perniagaan.

Namun, pasangan itu memfailkan aduan rasmi kepada syarikat penerbangan tersebut sehingga mencetuskan ketega­ngan di media sosial.