RT melaporkan, Alexander Novoseltsev hanya makan salji dan berdoa selain melakukan senaman tekan tubi serta berjoging di sekeliling rangka helikopternya bagi memastikan dia te­rus hidup ketika menunggu bantuan tiba.

Novoseltsev berkata, dalam kejadian yang berlaku pada 29 September lalu, dia menerbangkan helikopter jenis Ro­binson dari Srednekokolymsk, sebuah bandar di timur laut Rusia ke Yakutsk, ibu negeri Republik Sakha, sebuah kawasan yang diketahui dengan cuaca sejuk.

Ketika di tengah perjalanannya, helikopter yang dipandunya bertembung dengan ribut salji dekat rabung Chersky sebelum pesawat dipandunya terhempas ke dalam kawasan gaung, jelas beliau.

Novoseltsev yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudiannya menghantar isyarat kecemasan dan maklumat tentang kedudukannya sementara menunggu bantuan tiba ketika suhu jatuh ke paras lima darjah celsius.

“Saya memakai baju yang nipis ketika kejadian berlaku, telah menggigil kesejukan, Gaung itu amat sempit dan menyukarkan helikopter bantuan untuk tiba,” katanya.

Walaupun pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian, usaha itu terhalang akibat cuaca buruk dan terpaksa kembali semula ke lokasi kejadian pada keesokan harinya.

Berikutan ribut salji itu, pasukan penyelamat menangguhkan operasi menyelamat Novoseltsev dan memaklumkan kepada isteri juruterbang itu supaya bersedia menerima perkhabaran buruk kerana masa semakin suntuk.

Bagaimanapun, pada 3 Oktober, helikopter penyelamat berjaya menemukan Novoseltsev dan mengesahkan juruterbang itu masih hidup.

“Saya tahu pada akhirnya semuanya akan baik sahaja, saya hidup kerana makan salji dan berdoa,” katanya kepada media.