DailyMail melaporkan, Julian Monaghan, 49, ditarik keluar dari kokpit oleh polis bersenjata dalam satu situasi cemas selepas kru kabin mendapati beliau mabuk.

Staf yang bimbang akan keselamatan 300 penumpang pesawat Boeing 777 itu menghubungi talian 999 sejurus sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Gatwick untuk ke Mauritius pada 18 Ja­nuari lalu.

Monaghan ditahan dan dibawa keluar dari pesawat berkenaan dengan tangan bergari.

Insiden itu menyebabkan pelepasan penerba­ngan berkenaan tertangguh melebihi dua jam.

Seorang penumpang yang menyaksikan ‘drama’ dalam pesawat BA penerba­ngan 2063 itu berkata: “Polis bergegas masuk ke pesawat dan terus menuju ke bahagian kokpit.

“Juruterang itu digari dan di­ba­wa turun dari pesawat. Ramai penumpang terkesima. Sangat me­nakutkan apabila memikirkan mengenai kemungkinan yang boleh berlaku.”

Polis Sussex semalam berkata: “Tindakan un­dang-undang telah di­kenakan ter­hadap Mo­naghan atas kesalahan mengambil al­kohol melebihi had dibenarkan ketika berada dalam pesawat.”

Monaghan yang ditahan di Lapangan Terbang Gatwick didakwa mempunyai 86 miligram (mg) alkohol dalam setiap 100 mililiter darah dalam tubuhnya, sementara had dibenarkan untuk pemanduan biasa adalah 80 mg dan untuk juruterbang hanya 20 mg.

Monaghan dijadual hadir ke Mahkamah Majistret Crawley di Sussex pada 6 Jun depan dan beliau belum lagi diminta untuk membuat sebarang pengakuan.

Jurucakap British Airways ber­ka­ta: “Kami memandang serius perkara ini dan kami akan terus membantu polis dalam siasatan mereka. Keselamatan dan perlin­dungan penumpang serta kru sentiasa menjadi keutamaan kami.”

Beliau menambah, Mo­naghan tidak lagi berkhid­mat dengan sya­ri­kat penerba­ngan itu.