Menurut laporan mahkamah di Oldenburg, utara Jerman, tertuduh yang dikenali sebagai Nils.H., dibicarakan sejak September lalu atas dakwaan membunuh tiga pesakit dengan suntikan ubat khusus untuk pesakit jantung dalam jumlah yang banyak.

Pesakit yang disuntik dengan ubat berkenaan secara berlebihan akan mengalami kadar degupan jantung yang luar biasa, tekanan darah menurun, dan otot jantung pesakit tidak berfungsi dengan baik.

Nils, 38, itu turut mengaku, selepas menyuntik mangsa, dia akan melakukan CPR untuk menyedarkan mereka dan sekiranya berjaya, dia akan mengulangi perbuatan keji itu semula, lapor Mail Online.

Dengan kerjasama polis, mahkamah masih menyiasat kematian 147 pesakit di bawah penjagaan Nils ketika bertugas di sebuah klinik di Delmenhorst dekat Bremen antara 2003 dan 2005.

Siasatan polis mendapati Nils melakukan eksperimen tersebut terhadap 60 pesakit, tetapi berjaya menyedarkan mereka semua.