Kejadian yang dirakamkan oleh kamera polis itu menunjukkan jururawat Hospital Universiti Salt Lake City, Alex Wubbels berbincang dengan rakan se­kerja sebelum memaklumkan kepada pegawai polis tentang dasar hospital ber­kenaan yang perlu dipatuhi dalam penyediaan sampel darah untuk menguji paras alkohol atau dadah.

Wubbels menyatakan sampel darah pesakit hanya boleh diserahkan kepada polis sekiranya pesakit sudah memberikan kebenaran, ditahan atau dengan waran.

Menurut laporan Deseret News, pesakit itu adalah seorang pemandu trak yang koma ketika dibawa ke unit kecemasan selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan yang cuba melarikan diri dari polis.

Seorang pegawai dikenal pasti dalam laporan media sebagai Detektif Jeff Payne berang dengan Wubbels te­lah bertindak kasar terhadap jururawat itu.

Wubbels dilihat menje­rit-jerit meminta pertolong­an selepas diheret secara paksa keluar dari hospital sebelum digari oleh anggota polis berkenaan.

Peguam Wubbels, Karra Porter berkata, jururawat ter­­babit ditahan selama 20 minit dalam kenderaan polis sebelum dibebaskan susulan campur tangan kakita­ngan pentadbiran hospital.

“Wubbles telah menjalankan tugasnya mengikut protokol. Ia sangat mengecewakan,” katanya.

Kejadian berlaku pada 26 Julai lalu tetapi rakaman video itu disiarkan kepada umum kelmarin selepas sidang media diadakan oleh Wubbels yang mengakui berasa marah diperlakukan sedemikian hanya kerana cuba mempertahankan pesakit jagaannya.

Ketua Polis Salt Lake City, Mike Brown, mengetahui mengenai rakaman itu dan mengarahkan siasatan dalaman dilakukan.

“Kami sudah menggantung seorang pegawai terbabit dalam program pengambilan contoh darah dan menggantikan dasar sedia ada,” katanya. – AFP