Undang-undang itu yang merupakan sebahagian daripada Perlembagaan sementara Thailand yang sedang digubal oleh sebuah jawatankuasa yang dilantik oleh kerajaan junta dilihat akan membantu mengukuhkan kedudukan tentera dalam pentadbiran negara.

Pendekatan keselamatan yang dilaksanakan kerajaan junta selepas membubarkan undang-undang tentera turut melibatkan pengharaman perhimpunan politik melebihi lima orang, terus menyelubungi negara ini yang melihat kebebasan sivil semakin berkurangan sejak tentera merampas kuasa pada Mei tahun lepas.

Tentera dalam satu pengumuman berkata, pendekatan baharu itu akan menangani sebarang tindakan yang boleh mengancam keamanan dan ketenteraman serta keselamatan negara, selain melanggar arahan kerajaan junta.

Pendekatan tersebut dilihat satu langkah yang memberikan tentera kuasa pentadbiran yang sama di bawah undang-undang tentera.

Kebimbangan meningkat, selepas satu rang undang-undang didakwa telah diluluskan akan memberi kekebalan kepada pihak yang melancarkan rampasan kuasa pada tahun lepas.

Dua daripada 36 anggota Jawatankuasa Merangka Perlembagaan tersebut yang enggan dikenali berkata, artikel Perlembagaan berhubung pengampunan tersebut telah diluluskan pada minggu lepas tanpa sebarang bantahan.

Pengkritik kerajaan junta berkata, peruntukan itu merupakan sebahagian daripada perubahan Perlembagaan yang akan mengembalikan Thailand ke era 1997 yang mana tentera dan kerabat raja menguasai pentadbiran negara.

Peruntukan dalam Perlembagaan itu juga dilaporkan menimbulkan keraguan termasuk cadangan memilih anggota Dewan Tertinggi Parlimen daripada calon-calon yang dipilih oleh bekas ahli politik dan pegawai tentera.

Draf Perlembagaan tersebut mencadangkan penubuhan satu majlis untuk memantau perubahan yang diluluskan kerajaan junta dan satu rancangan untuk perwakilan berkadar yang akan membolehkan kerajaan perikatan berpotensi mengawal pembangkang.

Pemimpin Parti Demokrat, Nipit Intrasombat berkata, kerajaan junta dan Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha cuba mengekalkan kuasa pentadbiran mereka.

“Sejak minggu lepas, Prayuth memberikan petunjuk membimbangkan dengan menunjukkan jika keselamatan Thailand tidak dikawal oleh tentera, pilihan raya umum yang dirancang pada tahun depan akan ditangguhkan,’’ katanya.

Pilihan raya umum yang sepatutnya diadakan pada tahun ini telah ditangguhkan dan parti-parti politik yang menentang kerajaan junta bimbang tentera akan menangguhkannya lagi.

Jawatankuasa Merangka Perlembagaan yang mula bertugas pada Januari lalu, mengadakan mesyuarat tertutup setiap hari di Bangunan Parlimen di sini dengan hanya rundingan awam secara terhad walaupun berikrar menyediakan satu ‘Perlembagaan Rakyat’. – Reuters