Data terbaharu itu didedahkan Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR) hari ini.

Menurut UNHCR, daripada jumlah itu, sebanyak 20.2 juta pelarian melarikan diri daripada peperangan dan penganiayaan, bilangan paling tinggi sejak tahun 1992.

Kebanyakan pelarian pula lari dari Syria atau zon-zon konflik yang berterusan.

Jelas laporan itu, hampir 2.5 juta pencari suaka masih me­nunggu jawapan dari negara­-negara pilihan mereka dengan Jerman, Rusia, dan Amerika Syarikat (AS) mencatat hampir sejuta permohonan dalam tempoh separuh tahun pertama tahun ini sahaja.

“Tahun 2015 menyaksikan jumlah pelarian paling ramai di dunia sehingga mencecah lebih 60 juta untuk kali pertama.

“Ini bermakna, satu daripada 122 orang hari ini terpaksa me­ninggalkan rumah mereka,” me­nurut laporan tersebut.

Laporan itu yang dibuat berdasarkan data rasmi pada pertengahan tahun ini sebelum kebanjiran pelarian ke Eropah, menganggarkan trend penghijrahan pelarian global.

UNHCR memaklumkan, perang saudara Syria yang meletus pada 2011 menjadi penyumbang utama kepada krisis pela­rian apabila lebih 4.2 juta pelarian Syria lari ke luar negara, sementara 7.6 juta lagi menjadi pelarian di negara sendiri. – REUTERS