Setakat pukul 11 malam ini, sebanyak 22 mayat ditemukan terdiri daripada 11 lelaki dewasa, 10 perempuan dewasa termasuk seorang yang hamil dan seorang bayi perempuan.

Ketua Polis Daerah Kepulauan Riau, Brigedier Jeneral Sambudi Gusdian berkata, semua korban dibawa ke Rumah Sakit Bhayang­kara.

“Keseluruhannya, bot itu mem­bawa 101 orang ketika kejadian iaitu 97 penumpang dan empat anak kapal.

“Sebanyak 39 lagi penum­pang berjaya diselamatkan dan kini ditempatkan di sebuah balai polis untuk menunggu ketibaan ahli keluarga,” katanya kepada portal Tribun Batam.

Sambudi berkata, pihaknya telah menahan seorang wanita dipercayai pemilik bot berkenaan ketika mahu melarikan diri ke Singapura bersama keluarga­nya petang ini.

Jelasnya, kejadian masih disiasat, namun beliau mengesyaki bot itu terlebih muatan dan beroperasi secara haram.

Seorang penumpang yang selamat, Haryanto, 51, berkata, insiden berlaku dua jam selepas mereka bertolak pada pukul 3.40 pagi dari Tanjung Sedili, Johor ke Batam.

“Selepas dua jam di laut, bot yang kami naiki karam apabila dihempas ombak besar dalam kea­daan hujan lebat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Agen­si Pencegahan Bencana Kebangsaan Indonesia (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata, bot ber­kenaan dipercayai terlanggar ba­tu karang.

“Cuaca juga agak buruk ketika kejadian. Saksi menyatakan, hujan lebat dan laut bergelora meng­akibatkan bot karam,” katanya.

Misi mencari dan menyelamat masih dijalankan bagi mengesan mangsa yang hilang.