Taufan Harvey yang melanda Texas dan dikatakan taufan paling kuat pernah terjadi kepada negeri itu dalam tempoh 50 tahun, telah mengorbankan kira-kira 47 orang dan menyebabkan lebih sejuta penduduk terpaksa dipindahkan.

Abott telah meminta bantuan daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk membantu membina semula Houston.

“Katrina melibatkan kerugian lebih AS$120 bilion (RM512 bilion) tetapi jika kamu melihat jumlah rumah dan perniagaan yang terjejas akibat Harvey, saya merasakan kos akan melebihi AS$120 bilion, mungkin antara AS$150 bilion hingga AS$180 bilion,” kata Abbott kepada Fox News.

Dalam pada itu, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump telah meminta Kongres untuk meluluskan dana sebanyak AS$7.85 bilion (RM33.52 bilion) untuk kerja-kerja baik pulih, yang disifatkan oleh Abbott sebagai wang pendahuluan.

Houston masih bergelut untuk pulih sehingga semalam, apabila bandar berkenaan terpaksa memindahkan ribuan orang di bahagian barat kerana terjejas dengan limpahan air takungan.

Selain itu, pihak berkuasa terpaksa memotong bekalan elektrik pada pagi semalam bagi mengga­lakkan mereka yang enggan berpindah untuk keluar dari kediaman masing-masing.

Terdahulu, Agensi Perlindu­ngan Alam Sekitar AS menyatakan kebimbangan terhadap 13 lokasi Superfund yang merupakan bekas zon industri tercemar dan dikhuatiri boleh menyebarkan toksin kepada orang ramai melalui banjir. – REUTERS