China, bagaimanapun menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Amerika itu, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan antara kuasa besar global.

Jurucakap kementerian luar negeri China, Geng Shuang berkata, Beijing telah mengemukakan protes rasmi terhadap AS.

Kontrak penjualan peralatan berkenaan bernilai AS$330 juta (RM136 juta) melibatkan alat ganti pesawat termasuk pesawat F-16 dan kapal kargo C-130.

Kongres Amerika mempunyai 30 hari untuk menentang penjualan itu, tetapi ia tidak akan dilakukan kerana Taiwan dilihat sebagai kuasa penting bagi kestabilan politik, keseimbangan ketenteraan dan kemajuan ekonomi di rantau ini.

Washington kekal menjadi sekutu tidak rasmi yang paling penting dan pembekal senjata utamanya walaupun mengubah pengiktirafan diplomatik ke Beijing pada 1979.

China telah meningkatkan tekanan diplomatik dan tentera terhadap Taiwan sejak Presidennya, Tsai Ing-wen mengambil alih pejabat dua tahun lalu, termasuk mengadakan beberapa latihan ketenteraan di pulau itu.

Taiwan mengalu-alukan pengumuman AS, dengan mengatakan tindakan itu akan n membantu mengukuhkan keupayaan pertahanan Taiwan.

“Ketika Taiwan berdepan ancaman yang semakin memuncak, penjualan senjata AS akan meningkatkan keyakinan Taiwan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan,” kata Kementerian Luar Negeri itu dalam satu kenyataan.

Pejabat Presiden Taiwan turut berkata, kerajaan akan terus meningkatkan pelaburan pertahanannya dan menjaga komunikasi serta kerjasama rapat dengan AS berkaitan isu-isu keselamatan.-AFP