Rakyat Palestin didakwa mendekati sekumpulan anggota polis Israel yang berkawal di kawasan berkenaan dan dikatakan cuba menikam salah seorang daripada mereka semalam.

Warga Palestin yang juga rakyat Israel berusia 30 tahun dari bandar Umm al-Faham itu dilaporkan ditembak mati oleh tentera Israel dalam kejadian tersebut. Tiada kemalangan lain yang dilaporkan.

Menurut media tempatan Palestin, berikutan kejadian itu semua jemaah telah dipaksa keluar dari masjid itu oleh polis dan tentera Israel yang kemudiannya menutup pintu pagar masuk ke bandar lama itu.

Sebagai tindak balas, beratus-ratus rakyat Palestin menyempurnakan solat Jumaat di luar pintu pagar masjid Al-Aqsa.

Sementara itu, kerajaan Jordan mengecam tindakan Israel de­ngan Menteri Hal Ehwal Media dan Jurucakap Kerajaannya, Jumana Guneimat menyifatkannya sebagai amalan yang dikutuk dan ditolak kerana melanggar kesucian masjid Al-Aqsa.

Beliau turut memberi amaran, tindakan itu boleh mencetus kemarahan umat Islam di seluruh dunia selain melanggar undang-undang antarabangsa yang mengesahkan penghormatan terhadap semua tempat ibadat.

Katanya, Israel bertanggung jawab atas provokasi sedemikian dan menegaskan bahawa Jordan sedang berhubung dan berusaha untuk membuka semula pintu Masjid Al-Aqsa.

Sementara itu, portal be­rita Palestine News Network (PNN) melaporkan kisah tragis kanak-kanak Palestin dipukul dan diseksa oleh tentera Israel ketika berada dalam tahanan rejim Zionis.

Mereka memberi ketera­ngan kepada anggota Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Higa Ighbarieh, yang merekodkan keterangan tiga remaja Palestin ketika berada di penjara Megiddo.

Salah seorang mangsa, Fahd Qeisieh, 17 berkata, anggota polis Israel menyerang dan mengheretnya masuk ke dalam kereta manakala seorang lagi polis memijak belakangnya, menghalangnya bangun dan terus memukulnya.

Apabila dibawa ke pusat soal jawab tahanan, dia dipukul sekali lagi dengan kayu di bahagian muka, belakang, kaki dan tangannya sebelum dipaksa melutut dan mengaku salah atas semua dakwaan yang dibacakan.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengemukakan empat langkah untuk meningkatkan perlindungan rakyat Palestin di wilayah yang diduduki Israel.

Langkah tersebut termasuk menghantar pemantau hak asasi PBB dan pemerhati tidak bersenjata untuk mengerahkan pasukan tentera atau polis di bawah mandat PBB.

Cadangan itu terkandung dalam laporan yang diminta oleh Perhimpunan Agung sebagai tindak balas terhadap keganasan di Gaza, di mana 171 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel sejak akhir bulan Mac.

Dalam kejadian yang berasin­gan semalam, tentera Israel membunuh dua penduduk Palestin dan mencederakan lebih 270 orang yang menyertai tunjuk pera­saan minggu di sempadan Gaza.

Kekejaman itu berlaku, ketika Mesir yang bertindak sebagai pengantara, cuba mencapai perjanjian gencatan senjata bertujuan meredakan keganasan di wilayah yang terkepung dan miskin itu.

Menurut saksi, kira-kira 20,000 penduduk menyertai tunjuk perasaan semalam yang diadakan beberapa ratus meter dari pagar sempadan. –AGENSI/AFP/REUTERS