Mail Online me­lapor­kan, Gates dan Jolie menduduki tempat ter­­atas tinjauan oleh syarikat penyelidikan pemasaran yang beribu pejabat di London, YouGov sejak kategori lelaki dan wanita diperkenalkan pada 2015.

Kedua-dua individu itu mengalahkan beberapa pemimpin berpengaruh dan personaliti termasuk Barack dan Michele Obama, Oprah dan juga Dalai Lama.

Senarai YouGov itu memaparkan 20 lelaki dan wanita yang dipilih selepas 37,000 orang membuat undian yang diadakan di 35 buah negara.

Mengekori rapat di belakang Gates adalah Obama, pelakon, Jackie Chan, Presiden China, Xi Jinping dan Penga­sas serta Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma.

Bagi kategori wanita pula, bekas wa­ni­ta pertama AS, Michelle Obama, Oprah, Ratu Elizabeth II dan bekas Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton.

Namun senarai itu sedikit berbeza apabila tumpuan diberikan berdasarkan negara individu.

Di AS, Obama dinamakan sebagai lelaki paling dikagumi diikuti Presiden Donald Trump dan mendiang Paderi Billy Graham.

Bagi wanita dikagumi di AS, Michelle Obama berada di kedudukan pertama diikuti Oprah dan Ratu Elizabeth ma­sing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu, bagi senarai di seluruh dunia, majoriti wanita tersenarai adalah daripada industri hiburan de­ngan menampilkan Emma Watson, Madonna, Taylor Swift dan Gal Gadot.

Bagi senarai lelaki pula, kebanyakan taikun perniagaan dan bintang sukan termasuk Warren Buffet, Elon Musk, Michael Jordan dan David Beckham.

YouGov juga mencipta satu carta bagaimana Obama dan Trump dibandingkan di setiap negara yang menjalani undian itu, tahun ini.

Untuk senarai di seluruh dunia, Trump berada di tangga ke-17 dan Obama tetap mendahului beli­au di setiap negara kecua­li di Rusia.