Menteri yang digugurkan ialah Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan, Tedjo Edhy Purdijatno; Menteri Koordinator Kemaritiman, Indroyono Soesilo; Menteri Perdagangan, Rachmat Gobel, Menteri Perencanaan Pembangunan Nasional, Andrinof Chaniago dan Setiausaha Kabinet yang bertaraf menteri, Andy Widjajanto.

Menurut Kompas.com, menteri yang ditukarkan portfolio ialah Menteri Koordinator Perekonomian, Sofyan Djalil yang dilantik menggantikan Andrinof, merangkap Ketua Badan Perencanaan Pembangunan Nasional (Bappenas).

Muka-muka baharu yang dilantik sebagai menteri ialah Ketua Staf Kepresidenan, Luhut Binsar Pandjaitan menggantikan Tedjo; Setiausaha Agung parti PDI-Perjuangan, Pramono Anung mengisi tempat Andy sebagai Setiausaha Kabinet dan mantan Gabenor Bank Indonesia, Darwin Nasution mengambi alih tempat Sofyan.

Seorang lagi muka baharu yang dilantik ialah bekas pegawai Badan Penyihatan Perbankan Nasional, Thomas Lembong menggantikan Rachmat sebagai Menteri Perdagangan.

Sementara itu, tempat Indroyono sebagai Menteri Koordinator Kemaritiman diambil alih oleh Rizal Ramli iaitu mantan Menteri Koordinator Perekonomian kabinet bekas Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid.

Kesemua menteri yang terlibat mengangkat sumpah jawatan di hadapan Joko Widodo atau Jokowi di Istana Presiden pada sebelah petang. Majlis tersebut turut dihadiri Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, Ketua Umum PDI-Perjuangan, Megawati Soekarnoputri, Setiausaha Negara, Praktikno dan anggota-anggota kabinet lain.

Ini adalah rombakan kabinet pertama Jokowi setelah dilantik sebagai presiden republik INI yang mempunyai 250 juta orang penduduk pada 20 Oktober lalu.

Sebelum itu, pada sebelah pagi di tempat yang sama juga diadakan majlis pelantikan bekas pelakon popular Indonesia, Rano Karno sebagai Gabenor Banten. – UTUSAN