Kompas.com melaporkan, Jokowi juga menegaskan bahawa Indonesia tidak gentar dengan insiden yang berlaku di daerah Yigi itu.

“Indonesia tidak akan takut dengan insiden di Papua, malah ia akan menjadikan kami lebih bersungguh-sungguh untuk membangunkan wilayah Papua.

“Sehubungan itu, saya sudah mengarahkan Menteri Pekerjaan dan Perumahan Awam, Basuki Hadimulyono untuk meneruskan projek lebuh raya Trans Papua sepanjang 4,600 kilometer,” katanya, di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Indonesia menemukan sebanyak 16 mayat mangsa insiden pembunuhan beramai-ramai oleh kumpulan pemberontak di Papua.

Menurut jurucakap tentera Indonesia, Binsar Panjaitan, kesemua mayat yang ditemukan itu akan dibawa ke pekan Timika untuk dikenal pasti.

Beberapa saksi berdasarkan sumber ketenteraan Indonesia sebelum ini memaklumkan, sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dalam kejadian, Ahad lalu.

Media tempatan pula melaporkan jumlah korban adalah seramai 24 hingga 31 orang.

Namun, sehingga kini, pihak berkuasa masih belum dapat memastikan jumlah korban sebenar. – AFP/AGENSI