Menurut Oddity Central, kawasan itu yang terletak di daerah Dhanbad dalam ne­geri Jharkhand mula dilombong pada lewat tahun 1800 ketika berada di bawah pentadbiran British.

Pada asalnya, kawasan perlombongan arang batu di Jharia hanya seluas 258 kilometer persegi.

Kebakaran pertama dikesan pada tahun 1916 tetapi menje­lang 1980-an, lebih 70 kebakaran berlaku dan malangnya tiada satu pun berjaya dikawal.

Kebakaran yang biasanya berlaku jauh di dalam tanah, ia sengaja dibiarkan dengan harapan akan terpadam dengan sendiri.

Bagaimanapun, aktiviti perlombongan baharu pada tahun 1973 oleh syarikat Bharat Coking Coal Ltd (BCCL) pada skala besar menyebabkan kebakaran dalam tanah menjadi lebih buruk.

Menurut pakar, kebakaran tidak terkawal itu mengakibatkan 37 juta tan arang batu bernilai berbilion dolar musnah begitu sahaja ketika 1.4 bilion metrik tan arang batu sukar diakses kerana bencana tersebut.

Di sebalik bencana itu, kerajaan India dilapor berhasrat meningkatkan pengeluaran arang batu di kawasan berkenaan.

Pada masa sama, kehidupan penduduk kampung Bhulan Bararee yang terletak berhampiran kawasan arang batu berkenaan tidak ubah seperti ‘neraka.

Seorang penduduk, Mohammad Nasim Ansari berkata, tanah di kampung itu sangat panas sehingga berjalan kaki menggunakan kasut adalah mustahil.

“Banyak penduduk di sini jatuh sakit sehingga pihak berkuasa mengarahkan mereka berpindah tetapi kami takut kehilangan mata pencarian lantas memilih untuk terus tinggal di sini,” katanya.

Kebakaran arang batu meng­akibatkan gas beracun dan zarah bertoksik itu dilepaskan ke udara sekali gus menjadikannya bahaya kepada manusia.

Selain itu, kebakaran bawah tanah juga sering mengakibatkan lubang besar yang meragut nyawa penduduk pada setiap tahun.