Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Spike, Vik Kachoria berkata, prototaip jet tanpa kawalan manusia lulus ujian pertama dengan menca­tatkan ‘kejayaan yang besar’.

Syarikat itu, bagaimanapun tidak menyertakan sebarang gambar atau rakaman video tentang ujian prototaip yang juga dikenali sebagai ‘anak Concorde’.

Prototaip itu merupakan pesawat ujian awal sebelum penghasilan Quiet Supersonic Jet S-512 yang dijangka melakukan penerbangan sulungnya pada awal tahun 2021 manakala pe­nerbangan yang membawa penumpang pula diramal bermula tahun 2023.

Pesawat itu yang mana din­ding dalamannya diliputi skrin paparan kecil dan bukan tingkap seperti mana biasa untuk boleh memaparkan imej panoramik, mampu memuatkan 22 penumpang dengan bergerak dengan kelajuan 1.6 Mach, lapor portal Daily Mail.

Kachoria berkata, pihaknya berjaya menguji pesawat itu bukan sahaja berkaitan pengendaliannya tetapi juga pelbagai aspek lain.

Sebanyak tujuh penerbangan jarak dekat berjaya dilakukan untuk menguji reka bentuk dan kawalan penerbangan jet ber­kenaan.

Setiap kali ujian penerbangan dilakukan, pelbagai pelarasan dibuat pada bahagian tengah, keseimbangan dan kawalan permukaan jet terbabit.

Kerja-kerja untuk membangunkan SX-1.3, prototaip sete­rusnya juga sudah pun bermula.

Spike mendakwa, pesawat S-512 itu merupakan ‘jet perniagaan supersonik yang pertama’ di dunia yang mampu memendekkan tempoh pe­nerbangan sebanyak 50 peratus kepada tiga jam bagi mereka berulang alik antara New York dan London.

Bagaimanapun, masa perjalanan yang singkat dan ke­selesaan yang ditawarkan bukan murah kerana kos menggunakan pesawat itu ialah antara AS$60 juta (RM253 juta) dan AS$80 juta (RM337 juta).