Ahli Parlimen daripada Parti Demokrat Kristian (CDU) pimpinan Canselor Angela Merkel dan rakan mereka dalam kerajaan campuran, Demokratik Bebas (FDP) mengalu-alukan langkah itu sebagai cara terhormat untuk Mubarak meninggalkan politik, lapor akhbar Bild am Sonntag, semalam.

"Kita perlu melihat peralihan kuasa berlaku secara aman di Mesir.

"Jika Jerman boleh memberi sumbangan positif dalam konteks antarabangsa, kita harus menerima kedatangan Mubarak jika beliau bersetuju," kata anggota Parlimen CDU, Andreas Schockenhoff yang juga pakar dasar luar.

Jurucakap FDP di Parlimen, Elke Hoff berkata, beliau mengalu-alukannya jika Mubarak datang ke Jerman, 'sekiranya langkah ini dapat membantu menstabilkan situasi di Mesir'.

"Lagi pun ini bukan kes perlindungan politik," tambah Hoff.

Sumber kerajaan berkata, Mubarak akan dibenarkan masuk ke Jerman untuk mendapat rawatan perubatan.

Kelmarin, akhbar New York Times (NYT) di Amerika Syarikat (AS) melaporkan, satu cara untuk Mubarak, 82, meninggalkan negara tanpa secara terang-terangan dilihat tunduk kepada desakan supaya beliau meletakkan jawatan ialah dengan melakukan lawatan berpanjangan ke Jerman atas sebab perubatan.

Mubarak sebelum ini pernah menjalani rawatan perubatan di Jerman, dan pada Mac lalu menghabiskan masa tiga minggu di sebuah klinik di Heidelberg untuk menjalani pembedahan membuang pundi hempedunya. - dpa