Walaupun menelan kos yang tinggi namun dua gerabak kereta api hidrogen pertama berwarna biru terang, Coradia iLint menggunakan teknologi mesra alam dan dibina oleh syarikat Alstom dari Perancis yang turut membina kereta api TGV.

Kereta api berkenaan akan memulakan perjalanan melalui laluan sejauh 100 kilometer antara bandar-bandar seperti Cuxha­ven, Bremerhaven, Bremervoerde dan Buxtehude di utara negara ini yang lazimnya digunakan sebagai laluan kereta api diesel.

Ketua Pegawai Eksekutif Alstom, Henri Poupart-Lafarge berkata, kereta api hidrogen pertama kini memasuki per­khidmatan ko­mersial dan telah bersedia untuk pengeluaran susulan.

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran kereta api itu di Bremervoerde iaitu stesen yang akan digunakan kereta api untuk mengisi semula hidrogen.

Sebelum ini, syarikat itu memaklumkan rancangan untuk menghantar 14 buah lagi kereta api sifar asap ke Lower Saxony menje­lang 2021, manakala beberapa negeri di Jerman turut menyatakan minat terhadap kereta api berkenaan.

Kereta api hidrogen dilengkapi dengan sel-sel bahan api yang menghasilkan elektrik melalui kombinasi hidrogen dan oksigen iaitu proses yang hanya meninggalkan stim dan air sebagai asap.

Lebihan tenaga akan disimpan dalam bateri ion litium yang ditempatkan dalam kereta api berkenaan.

Kereta api Coradia iLint mampu beroperasi sejauh 1,000 kilometer menggunakan satu tangki hidrogen sama seperti kereta api diesel.

Alstom juga mempertaruhkan teknologi hijau sebagai alternatif senyap terhadap penggunaan diesel di landasan tanpa elektrik, prospek yang menarik perhatian banyak bandar negara ini yang berhempas pulas cuba menangani masalah pencemaran udara.

Pengurus Projek Alstom, Stefan Schrank berkata, membeli kereta api hidrogen mungkin lebih mahal berbanding kereta api diesel, namun pengendaliannya adalah lebih murah.

Katanya, beberapa negara turut menunjukkan minat terhadap penggunaan kereta api hidrogen termasuk Bri­tain, Belanda, Norway, Itali dan Kanada.

Di Perancis, kerajaannya te­lah memaklumkan penggunaan kereta api hidrogen pertama pada 2022. – AFP