Serangan terbaharu yang melanda Bavaria dalam tempoh seminggu itu turut meragut nyawa penyerang tersebut iaitu seorang pendatang Syria berusia 27 tahun yang meletupkan diri di restoran berkenaan.

Berdasarkan laporan, suspek dikatakan pernah mendapatkan rawatan psikiatri sebelum ini.

“Sungguh malang, kejadian serangan terbaharu ini pas­tinya akan meningkatkan tahap kebimbangan orang ramai selepas ini,” kata Menteri Dalam Negeri Jerman, Joachim Herrman.

Beliau berkata, hasil siasatan setakat ini, bagaimanapun mendapati, penyerang itu tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh.

Ekoran serangan itu serta dua lagi serangan sebelum itu iaitu ke atas kereta api dan sebuah pusat beli-belah, beliau bimbang ‘hak untuk mendapatkan suaka akan terjejas’.

Kejadian terbaharu itu berlaku betul-betul di luar sebuah restoran di Ansbach, tidak jauh dari lokasi kira-kira 2,000 orang berkumpul untuk menghadiri satu konsert.

Polis terpaksa menutup kawasan itu dan memanggil pa­sukan kecemasan serta mendapatkan khidmat pakar bom ke lokasi bagi menyiasat punca letupan.

Menurut Herrman, pe­­n­ye­rang itu datang ke Jerman kira-kira dua tahun lalu dan permohonannya untuk mendapatkan suaka ditolak pada tahun lepas.

Suspek juga, katanya pernah cuba membunuh diri sebanyak dua kali sebelum mendapatkan rawatan di sebuah klinik psikiatri.

Sementara itu, polis menahan seorang rakan kepada penyerang yang terlibat dengan serangan di Munich Jumaat lalu.

Remaja berusia 16 tahun itu ditahan tanpa notis di bawah akta kesalahan jenayah, kata polis dalam satu kenyataan petang semalam.

Remaja tersebut dikatakan menghubungi polis selepas rakannya menembak mati sembilan orang dan mencederakan beberapa orang lain sebelum ditahan selepas maklumat yang diberikannya bercanggah ketika disoal siasat. – AFP/DPA