Secara tiba-tiba terdapat sejenis kepulan jerebu yang kemudian menyebabkan orang tidak sihat dan suasana menjadi panik seketika.

BBC melaporkan, rata-rata orang yang berada di kawasan tersebut dilaporkan mengalami kesukaran bernafas, pedih mata dan muntah-muntah secara tiba-tiba selepas terhidu bahan kimia tersebut.

Menurut kenyataan Hospital Daerah Eastbourne, pihak­nya telah merawat sekurang-kurangnya 133 orang berhubung insiden itu setakat ini.

Pihak polis Sussex tidak menolak kemungkinan bahan kimia itu adalah sejenis klorin yang datangnya dari sebuah kilang berhampiran namun siasatan masih lagi dijalankan.

Polis percaya bahan kimia itu datang dari arah laut kerana kejadian seumpama itu pernah berlaku sebelumnya di Perancis tetapi ini masih belum disahkan.

Bagaimanapun, Jabatan Bomba pula menolak bahan itu adalah klorin tetapi yakin ia tidak begitu berbahaya dan mendatangkan mudarat selain kesan sampingan bi­asa.

Salah seorang mangsa yang bercakap dengan BBC, Kyle Crickmore yang mengunjungi pantai Birling Gap semalam bersama ke­luarga berkata, dia terkejut de­ngan insiden itu.

“Pada mulanya ada jerebu yang entah datang dari mana, kemudian secara perlahan kami mula terhidu bau klorin yang sangat kuat. Namun jerebu itu hanya hadir untuk 10 minit sahaja.

“Bagaimanapun, baunya sa­ngat kuat. Tidak logik sama sekali untuk melihat jerebu ‘klorin’ se­perti itu terutamanya pada waktu yang bukan sahaja sibuk malah terang benderang dan panas,” katanya.

Pantai di kawasan timur Sussex merupakan antara yang menjadi tarikan kepada warga tempatan terutamya pada hari minggu untuk beristirahat bersama keluarga.

Arahan telah dikeluarkan kepada semua penduduk setempat untuk berhati-hati dan segera mendapatkan rawatan sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini.