Kumpulan terbabit melibatkan gabungan Forum Alam Sekitar Indonesia (Walhi), Forum Komuniti Melayu, Rumah Kebudayaan Siku Keluang dan Rangkaian Kerja Hutan Riau.

Menurut portal Jakarta Post, saman itu yang difailkan di Mahkamah Daerah Pekanbaru, menamakan Presiden Indonesia, Joko Widodo, Menteri Perhutanan dan Alam Sekitar, Siti Nurbaya Bakar, Menteri Pertanian, Andi Amran Sulaiman, Menteri Kesihatan, Nila Farid Moeloek, Agensi Tanah Kebangsaan dan Gabenor Riau sebagai defendan.

Pengerusi Walhi Riau, Riko Kurniawan berkata, kebakaran hutan berlaku sejak 18 tahun lalu sehingga menyebabkan udara tercemar di wilayah tersebut akibat asap dan debu.

“Negara ini gagal melindungi rakyatnya dan kami meminta isu ini diselesaikan dengan segera,” kata beliau.

Berdasarkan dokumen saman, gabungan kumpulan tersebut menuntut pengurusan yang lebih baik dalam soal sumber asli terutamanya membabitkan sektor perhutanan dan perladangan yang menjadi punca kebakaran hutan.

Selain itu, kerajaan perlu mengkaji semula semua dasar membabitkan pengurusan berkaitan tanah gambut bagi memastikan usaha yang lebih efektif untuk menghalang kebakaran hutan.

“Kami tidak meminta kerajaan untuk membayar pampasan tetapi mereka perlu meningkatkan cara pengurusan dan dasar bagi mengelakkan kebakaran hutan berulang pada masa depan,” tambah Riko.

Peguam yang mewakili kumpulan itu, Indra Jaya berkata, beliau berharap hakim yang dilantik mengendalikan kes tersebut mempunyai pengetahuan yang baik tentang isu alam sekitar.

Kes kebakaran hutan kebiasaan dicetuskan oleh syarikat perladangan dan peladang kecil yang mahu tanah mereka dibersihkan.

Sementara itu, askar pada awal minggu ini dikerahkan ke kawasan-kawaasan lokasi titik panas bagi membantu mengawal kebakaran.

Komander tentera Bukit Barisan, Mejar Jeneral Lodewyk Pusung berkata, titiik panas baharu perlu dibendung daripada tersebar dan pihaknya akan memantau kawasan terbabit tanpa mengira pemilikannya sama ada individu atau syarikat.

Beliau berkata, anggotanya dilengkapkan dengan peluru hidup dan diberikan kuasa untuk mengambil tindakan tegas ketika melakukan rondaan.