Jumlah titik panas tersebut dikesan Stesen Jabatan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik Pekanbaru berlaku di tujuh wilayah di sekitar Pulau Sumatera di sini, semalam.

Keadaan berjerebu turut menyebabkan jadual penerbangan di Lapangan Terbang Syamsudin Noor, Banjarmasin, di Kalimatan Selatan terganggu apabila sejumlah penerbangan terpaksa ditunda buat sementara waktu.

Berdasarkan maklumat yang diterima, portal berita, Antara News, melaporkan, titik panas paling banyak dikesan di Sumatera Selatan dengan jumlahnya sebanyak 645.

“Hasil pemantauan di Jambi dan Riau, jumlah titik panas di kawasan itu semakin meningkat dengan pantas. Di Jambi sebanyak 70 titik panas dikesan berbanding hari sebelumnya iaitu satu titik panas sahaja,” kata Ketua Jabatan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik Pekanbaru, Sugarin.

Sugarin menjelaskan, daripada 49 titik panas yang dikesan di Riau, sebanyak 35 darinya merupakan titik api atau lokasi yang terdapat kejadian kebakaran hutan dan tanah.

“Sebanyak 35 titik api yang dikesan didapati berlaku di Meranti, Bengkalis, Indragiri Hilir, Indragiri Hulu, Pelalawan, dan Siak,” jelasnya yang turut mendakwa beberapa kawasan lain yang turut terlibat ialah Lampung dengan 27 titik panas, Bengkulu (5), Riau (6) dan Bangka Belitung (11).

Sementara itu, keadaan jerebu di Singapura juga semakin teruk hari ini, namun penduduknya dapat menarik nafas lega menjelang hujung bulan Oktober ini apabila musim monsun barat daya akan berakhir, jelas Jabatan Perkhidmatan Meteorologi Singapura seperti dipetik The Straits Times, hari ini.

Setakat tengah hari, IPU 24 jam di Singapura merekodkan bacaan dalam lingkungan 74 hingga 106, namun pada pukul 3 petang waktu tempatan, IPU mencatat peningkatan antara 90 hingga 109, manakala kadar IPU tiga jam kemudian me­ningkat kepada 176.