Menurut portal berita Channel News Asia, langkah tersebut diambil susulan permintaan agensi pencegahan bencana untuk mendapatkan lebih banyak bantuan bagi memadamkan kebakaran hutan di Sumatera.

Polis Indonesia turut mengenal pasti 14 lokasi titik panas di wilayah berkenaan dan sejumlah daripada kawasan itu merupakan milik syarikat perladangan.

Dalam perkembangan sama, portal Jakarta Post melaporkan, Kementerian Perhutanan dan Alam Sekitar menyiasat 10 syarikat perladangan yang beroperasi di wilayah Riau, Sumatera Selatan, Jambi, dan Kalimantan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pembakaran hutan.

Jurucakap kementerian itu, Eka Soegiri berkata, jika syarikat terbabit didapati bersalah, lesen operasi mereka akan dibatalkan dan mereka akan dikenakan denda.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kesemua syarikat ber­kenaan, sama ada syarikat minyak sawit atau kayu, terlibat dalam kes pembakaran hutan yang tidak terkawal sejak beberapa minggu lalu sehingga mengakibatkan jerebu teruk.

Dalam perkembangan berka­itan, keadaan jerebu di Singapura mencatatkan paras terburuk hari ini dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 174 pada pukul 7 malam.

Agensi Alam Sekitar Kebangasaan menyatakan, keadaan dijangka tidak banyak berubah esok apabila angin diramal bertiup dari selatan atau tenggara, sekali gus membawa jerebu yang berpunca dari Indonesia ke republik tersebut.