JAKARTA 26 Ogos - Enam wilayah di Indonesia diisytiharkan darurat berikutan keadaan jerebu yang teruk sehingga menjejaskan negara jiran terutamanya Singapura.
Jakarta Post melaporkan, kualiti udara di Singapura semakin merosot sehingga sampai ke tahap tidak sihat pagi ini berikutan pembakaran hutan di Sumatera.
Asap tebal juga telah mula merebak ke selatan Malaysia.
Bilangan titik panas yang dikesan di Sumatera dan Kalimantan oleh satelit cuaca meningkat pada bulan lalu walaupun berada di bawah paras yang dilaporkan tahun lepas sehingga mencetuskan krisis serantau berikutan isu itu.
Di Singapura, kualiti udara semakin merosot apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 198 daripada 165 dalam tempoh setengah jam antara pukul 12 tengah hari hingga pukul 1 petang ini.
Beberapa bahagian di Singapura diselubungi jerebu dengan beberapa aduan diterima mengenai bau asap kebakaran sejak awal pagi terutamanya di bahagian utara dan barat republik itu.
Ketua Polis Negara Indonesia, Tito Karnavian berkata, pihaknya telah menahan sekurang-kurangnya 85 suspek yang disyaki melakukan pembakaran terbuka dalam tempoh lapan bulan lalu.
Tahun lepas, polis Indonesia menahan 196 individu termasuk yang mempunyai kaitan dengan 25 syarikat yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan pembakaran terbuka.
Bagi mengelak krisis jerebu tahun lalu berulang, Presiden Joko Widodo telah mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang disyaki terlibat.