Menurutnya, hal ini kerana musim kering yang melanda republik ini dijangka berakhir hanya selepas beberapa kawasan di bahagian utara seperti Riau yang terjejas teruk dengan bencana jerebu mula me­nerima hujan.

Beliau berkata, masalah utama bagi menangani masalah jerebu ialah faktor kekeringan dan bekalan air yang terhad untuk memadam kebakaran yang berlaku di kawasan pertanian dan hutan di negara ini.

“Cabaran terbesar dalam menangani kebakaran hutan kali ini adalah tanah gambut dan cuaca. Ini kerana pemadaman api di tanah gambut yang terbakar sukar jika bekalan air tidak banyak.

“Bekalan air yang terhad menimbulkan asap di tanah-tanah gambut yang terbakar. Saya harap dalam sebulan lagi akan selesai. Akhir Oktober atau awal November,’’ katanya seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan hari ini.

Sehingga kini, jerebu masih lagi menyeliputi beberapa wilayah di Indonesia seperti Sumatera Selatan, Jambi dan Kalimantan Tengah.

Bagaimanapun BNPB yakin masalah tersebut akan dapat ditangani dalam masa terdekat.

“Kekeringan seperti yang diramalkan akan berakhir pada November. Beberapa wilayah di bahagian utara sudah pun menerima hujan,’’ katanya.

Saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Amerika Syarikat (AS) memberi amaran, jerebu tahun ini dijangka menjadi yang terburuk, mungkin lebih teruk sama seperti kejadian pada 1997.

“Situasi di Singapura dan tenggara Sumatera dikesan hampir sama seperti 1997.

“Jika ramalan cuaca untuk musim kering yang berpanjangan berlaku, jerebu 2015 merupakan antara krisis jerebu terburuk dalam rekod,’’ kata Robert Field, saintis dari Universiti Columbia yang dipetik oleh NASA. – UTUSAN