Kerajaan Jepun berharap teknologi robot dapat mengatasi masalah peningkatan populasi warga emas yang semakin bertambah dan juga bilangan tenaga kerja pakar yang berkurangan di negara ini.

Penggunaan robot untuk menjaga warga emas mungkin sukar diterima di negara-negara Barat tetapi Jepun melihatnya dari segi pandangan positif dipercayai berpunca daripada pengaruh media yang menggambarkan kemudahan teknologi itu sebagai mesra dan sa­ngat membantu.

Salah seorang penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Shin-tomi, Kazuko Yamada, 84 menyifatkan kesemua robot yang ditugaskan untuk menjaga mereka sangat hebat dan mesra.

“Semakin ramai orang yang hidup bersendirian ketika ini dan robot boleh menjadi rakan bicara kepada mereka dan menjadikan hidup juga lebih gembira,” katanya.

Biarpun pekerja asing dibenarkan berkhidmat dalam menjaga warga emas di Jepun, mereka masih berdepan rintangan terutamanya perlu mengambil peperiksaan.

Pengarah Dasar Robotik di Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun atau METI, Atsushi Yasuda berkata, penggunaan robot dalam sektor pekerjaan tersebut menjadi satu peluang kepada kerajaan untuk mengurangkan masalah berkaitan tenaga kerja yang semakin berkurangan.

“Negara-negara lain dijangka akan mengikuti langkah kami menggunakan perkhidmatan robot dalam sektor-sektor kerjaya. Lebih 100 kumpulan antarabangsa dari China, Korea Selatan dan Belanda sudah melawat Shin-tomi sejak beberapa tahun lalu.

Malah, syarikat elektronik Jepun iaitu Panasonic Corp turut mengambil langkah tersebut dengan menghasilkan beberapa produk berunsur robotik seperti katil yang boleh bertukar menjadi kerusi roda dan robot berbentuk anjing laut yang diberi nama sebagai Paro.

Setakat ini, syarikat tersebut telah mengeksport kedua-dua produk tersebut ke Taiwan dan Denmark. – REUTERS