Kedua-dua negara itu berebut pulau-pulau di Laut China Timur yang dikuasai oleh Jepun dikenali sebagai Senkaku dan kerap menghantar kapal-kapal ke perairan berdekatan bertujuan untuk menguatkan tuntutan mereka terhadap kawasan berkenaan di tengah-tengah berlakunya krisis diplomatik yang berulang-ulang.

“Aktiviti minyak dan gas China di Laut China Timur semuanya terletak di kawasan maritim yang tidak dapat dipertikaikan di bawah bidang kuasa China. Masalah yang dipanggil ‘eksploitasi secara unilateral’ juga tidak wujud,” kata kementerian luar China kepada AFP dalam satu kenyataan.

Perbincangan antara Tokyo dan Beijing yang bermula pada bulan Jun 2008 bagi mewujudkan kerjasama berhubung sumber minyak dan gas di kawasan itu sehingga kini masih menemui jalan buntu.

Jurucakap kerajaan Jepun, Yoshihide Suga berkata, negaranya kesal apabila China secara unilateral meneruskan aktiviti pembangunannya dengan meletakkan kapal-kapal penggerudian mudah alih berhampiran garis median yang memisahkan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) kedua negara tersebut.

Menurut Suga, Jepun telah membuat bantahan sejak beberapa minggu lalu selepas mengetahui aktiviti tersebut tetapi beliau tidak menyatakan jelas tindakan yang dilakukan oleh kapal-kapal China itu.

Aktiviti penggalian gas di ba­wah perjanjian pembangunan bersama terletak di kawasan di mana EEZ kedua negara bertindih.

Jepun berkata. garis median antara kedua-dua negara harus menandakan had EEZ masing-masing tetapi China menegaskan sempadan itu harus lebih dekat ke Jepun dengan mengambil kira pelantar benua dan ciri-ciri lautan yang lain.

Kementerian Luar China berkata, negara itu menolak idea garis median antara Jepun dan China, memanggilnya sebagai cadangan unilateral Jepun.

Menurut Kyodo News dan laporan Sankei Shimbun, kapal penggerudi China kali terakhir dilihat berhampiran garisan itu pada bulan Oktober tahun lalu dan setakat ini negara berkenaan telah membina 16 buah platform penggerudian berhampiran garis median.

Awal tahun ini, Presiden Ame­rika Syarikat (AS), Donald Trump menawarkan jaminan bahawa AS akan tiba ke pertahanan Jepun jika China merampas pulau-pulau Senkaku yang tidak didiami itu. – AFP