Hujan selama beberapa jam dan ribut petir memaksa jemaah berlindung dalam khemah ma­sing-masing.

Pihak pertahanan awam memberi amaran kemungkinan berlakunya banjir pada petang hari tersebut, tetapi menolak situa­si itu akan menjejaskan kelancaran ibadah.

Kumpulan jemaah haji dari Masjidilharam menuju ke Mina atau Arafah tiba pagi ini menjelang Aidiladha yang akan di­sambut esok sebelum melakukan ibadah melontar.

Seorang jemaah, Khalaf Aziz yang melarikan diri dari Syria sejak tiga tahun lalu telah menunaikan haji sebanyak empat kali dan tahun ini dia melakukan ibadah haji untuk neneknya yang meninggal dunia pada awal tahun ini.

“Sepupu saya terkorban semasa serangan udara dan bapa saudara meninggal dunia akibat ditembak. Dua tahun lalu saya menunaikan haji untuk sepupu saya dan tahun lalu untuk bapa saudara,” katanya yang berasal dari Deir-al-Zor.

Menteri Kesihatan, Tawfiq al-Rabiah berkata, pihak berkuasa negara ini bersiap sedia sejak beberapa bulan lalu untuk memastikan keselamatan jemaah.

Lebih 30,000 petugas kesihatan ditempatkan di 25 hospital yang menawarkan perkhidmatan perubatan percuma termasuk pembedahan.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar dan tahap kesihatan amat baik,” katanya di Hospital Awam Mina.

Tumpuan khusus diberi terhadap kemungkinan berlakunya penyebaran penyakit dalam kalangan jemaah yang menghabiskan lima hari dalam kawasan tertutup dan sering makan makanan di luar.

Kementerian Dalam Negara mengambil langkah sewajarnya untuk menghadapi ancaman ke­se­lamatan daripada serangan mi­li­tan sehinggalah bantahan po­li­tik.

Namun, kata seorang jurucakap, sehingga hari ini tiada ancaman dikesan.

Seorang lagi jemaah, Qaboos Ghalib dari Yemen berkata, dia seolah-olah dilahirkan semula ke­rana dapat menunaikan ibadah haji buat kali pertama.

“Saya mengharapkan keama­nan di rantau Arab terutama Ye­men dan perang ditamatkan,” katanya. – REUTERS