Tiket-tiket berkenaan dibahagikan kepada lima kategori me­ngikut warna tertentu iaitu warna ungu bagi jemaah ke stesen Mina 1, Muzdalifa 1 dan Arafah 1, tiket berwarna jingga untuk jemaah ke stesen Mina 2, Muzdalifa 2 dan Arafah 2 dan tiket berwarna biru untuk ke stesen Mina 3, Muzdalifa 3 dan Arafah 3.

Tiket berwarna coklat dikhaskan untuk jemaah ke semua stesen pada hari Tasyrik dan tiket berwarna hijau pula adalah untuk ke semua stesen pada bila-bila masa, lapor portal Arab News.

Jurucakap pihak tersebut, Jalal Kaaki berkata, persiapan telah dilakukan bagi memastikan pe­ngangkutan itu selamat untuk lebih 350,000 jemaah haji yang ke tanah suci semasa musim haji ini.

Katanya, pihak metro telah menjalankan beberapa pemeriksaan bagi memastikan ia boleh menampung jumlah penum­pang selain mengatasi sebarang masalah manakala latihan juga telah diadakan bagi persediaan menghadapi situasi kecemasan.

Dalam pada itu, payung terbesar di dunia akan dipasang di halaman dan bumbung Masjidilharam tahun depan bagi melin­dungi jemaah daripada panas terik matahari.

Komander Pasukan Keselamatan Haji, Mejar Jeneral Mohammed Al-Ahmadi berkata, payung berkenaan berukuran 53 meter tinggi dan lebar dibina dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kese­lamatan dan Pihak Berkuasa Kesihatan dan Pertahanan Awam.

Kata beliau, walaupun suhu di dalam masjid lebih rendah melalui pemasangan alat penya­man udara namun pemasangan payung itu akan memberi kese­lesaan kepada jemaah haji yang berada di bahagian halaman dan bumbung masjid tersebut.