Amaran supaya penduduk menjauhi kawasan sehingga satu kilometer itu dikeluarkan kepada penduduk yang tinggal di antara Pulau Jawa dan Pulau Sumatera yang terdedah kepada tsunami Selat Sunda.

Anak Krakatau meletus Sabtu lalu sehingga menyebabkan 64 hektar kawasan lereng gunung berapi itu runtuh ke dalam laut dan mencetuskan ombak tsunami setinggi lima meter tanpa memberi sebarang amaran kepada penduduk.

Bencana yang melanda Selat Sunda itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 429 orang terbunuh, 154 lagi hilang dan lebih 1,400 orang cedera, ketika ribuan penduduk lain kehilangan tempat tinggal.

Ketua Pusat Gempa Bumi dan Tsunami di Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG), Rahmat Triyono berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu itu berisiko untuk menjadikan Anak Krakatau lebih aktif.

Katanya, sebanyak enam alat pengesan dipasang di sekitarAnak Krakatau bagi tujuan pemantauan sebarang pergerakan atau aktiviti tektonik.

“Sebanyak tiga alat pengesan dipasang di Sumatera dan tiga lagi di Jawa dan setiap alat pengesan itu merekodkan sebarang gegaran yang dihasilkan oleh Anak Krakatau.

“Jika kesemua alat pengesan itu merekodkan gegaran sekuat 3.4 magnitud atau lebih, BMKG akan mengeluarkan amaran awal kepada penduduk sekitar,” katanya, hari ini.

Bencana alam terbaharu itu hampir menyerupai tragedi tsunami Laut Hindi yang diakibatkan oleh gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter pada 26 Disember 2004 dan mengorbankan seramai 226,000 orang di 14 buah negara termasuk lebih 120,000 orang di Indonesia.

Dalam pada itu, Indonesia mengumumkan untuk membangunkan sistem amaran baharu yang berupaya mengesan tsunami akibat tanah runtuh bawah laut pada tahun depan.

Jurucakap Agensi Pentaksiran dan Penerapan Teknologi Indonesia, Iyan Turyana memberitahu bahawa, mekanisme baharu itu berfungsi dengan mengesan saiz ombak.

Teknologi sedia ada tidak mampu untuk mengesan tsunami yang diakibatkan oleh tanah runtuh bawah laut, sebaliknya berfungsi mengesan ombak besar yang dicetuskan oleh gempa bumi.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan biarpun pasukan keselamatan berdepan dengan keadaan hujan lebat, malah ada beberapa kawasan di Banten sudah mula dinaiki air.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan penularan wabak penyakit yang diakibatkan oleh air tercemar.

Bekalan asas termasuk makanan, selimut dan ubat-ubatan juga dilaporkan tidak dapat diedarkan sepenuhnya ke semua kawasan terutamanya di bahagian pedalaman.

Sejumlah mangsa tsunami yang terselamat kini mendapatkan perlindungan sementara di beberapa buah sekolah dan masjid, malah ada yang menggunakan khemah.

Badan Pengurusan Nasional Bencana (BNPB) turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa akan cuba membawa keluar semua penduduk yang terkandas di kawasan pedalaman dengan menggunakan pengangkutan udara atau air.

Kemusnahan infrastruktur di beberapa kawasan pedalaman menyukarkan operasi SAR dilakukan dengan lancar dan pasukan keselamatan menggunakan khidmat anjing pengesan dan dron untuk mencari mana-mana mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan. – REUTERS/AFP/AGENSI