Sebelum ini, doktor memberitahu Ja’Niya Walker, 40, tiada rawatan yang boleh membantu pertumbuhan semula jari itu dan dia terpaksa hidup dengan jari kudung seumur hidupnya.

Namun wanita itu tidak berputus asa mencari rawatan lain dan akhirnya bertemu pakar ortopedik dan pengurusan kesakitan yang bertugas di Marina Del Rey, California iaitu Dr. Akash Bajaj.

Beliau memberitahu, darah mempunyai sel stem yang dikenali sebagai faktor pertumbuhan dan me­lalui suntikan pada jari itu, sel itu mampu merangsang pertumbuhan jari terbabit.

Dr. Akash menggunakan teknologi plasma banyak pla­te­let (PRP) namun wanita itu bernasib baik kerana jari putus pada bahagian bawah kuku dan teknologi PRP tidak dapat merangsang pertumbuhan semula keseluruhan jari.

Melalui temu bual eksklusif dengan portal Daily Mail, Walker memberitahu dia mula melihat perubahan jarinya pada hari kedua dan yakin mampu menjalani kehidupan seperti orang lain.

Mengimbau kembali insiden itu, Walker berkata, kejadian berlaku ketika dia mengunjungi pusat perlindungan haiwan Little French Key Island di Roatan, Honduras pada Julai 2017.

“Saya letak tangan saya di atas sangkar yang menempatkan seekor puma dan jari saya mungkin termasuk di celah lubang sangkar, menyebabkan puma itu menyambar­nya,” katanya.

Walker cuba menarik jarinya, malangnya jari itu ‘terus tertanggal’ malah dia dapat melihat hujung jari itu terjuntai di atas sangkar.

“Saya minta kawan saya mengambil hujung jari saya itu dengan harapan ia dapat disambung semula tetapi puma berkenaan seolah-olah mengawalnya dan saya terpaksa membiarkannya begitu sahaja,” kata Walker yang berasal dari California.

Menurut Walker, jari­nya sembuh sepenuhnya dalam tempoh dua bulan setengah selepas insiden berlaku malah Dr. Akash terkejut dengan perubahan yang begitu pantas.