Pasukan penyelidik Amerika Syarikat (AS) menegaskan, jangkitan cacing parasit tersebut pernah dilihat hanya dalam mata lembu dan disebarkan oleh lalat yang memakan bahagian pelincir mata.

Namun menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, sebanyak 14 cacing parasit spesies Thelazia gulosa sepanjang lebih 1.27 sentimeter dike­luarkan dari mata wanita berusia 26 tahun itu dalam tempoh 20 hari.

Wanita itu mengadu melihat cacing kecil bergerak-gerak di mata kirinya setelah meng­alami kegatalan dan aktiviti luar semasa musim panas memburukkan lagi jangkitan tersebut.

Insiden aneh berkenaan didedahkan menerusi laporan kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Tropical Medicine and Hygiene baru-baru ini.

Menurut laporan itu, spesies cacing berkenaan dilihat dalam mata lembu di seluruh Amerika Uta­ra serta selatan Kanada dan kajian itu menunjukkan bahawa Amerika Utara mungkin lebih mudah terdedah berbanding sebelum ini.

“Jika cacing itu kekal di dalam mata seseorang untuk jangka masa yang lebih lama, ini boleh meninggalkan parut pada kor­nea dan boleh menyebabkan mangsa menjadi buta.

“Kes jangkitan parasit cacing mata jarang berlaku di AS dan kes melibatkan spesies Thelazia ini ternyata tidak pernah dilaporkan berlaku pada manusia,” kata pengarang utama laporan itu, Richard Bradbury.

Bradbury yang juga pakar Bahagian Penyakit Parasit CDC dan Malaria berkata, keba­nyakan jangkitan cacing mata telah dilaporkan di Eropah dan Asia dalam kalangan masyarakat luar bandar yang memiliki taraf hidup yang kurang baik.

Cacing mata terdapat dalam beberapa haiwan termasuk anjing, kucing dan karnivor liar tertentu. – REUTERS