Channel News Asia melaporkan, purata jangka hayat penduduk Sepanyol direkodkan selama 85.8 tahun pada 2040, sekali gus mendahului Jepun di tempat kedua dengan purata 83.7 tahun.

AS pula jatuh daripada ke­du­dukan ke-43 kepada kedudukan ke-64 pada tahun 2040 manakala China memperbaiki kedudukan iaitu daripada tangga 68 kepada 39 dengan purata jangka hayat selama 81.9 tahun.

Beberapa negara lain turut mencatatkan penurunan purata jangka hayat termasuk Kanada, Norway, Australia, Mexico, Taiwan dan Korea Utara.

Antara negara yang mencatat pe­ningkatan pula ialah Indonesia, Nigeria, Portugal, Poland, Turki dan Arab Saudi.

Jangka hayat penduduk Syria juga dijangka meningkat de­ngan kedudukan dari tangga 137 kepada tangga 80 pada 2040 selepas konflik peperangan yang melanda negara itu bakal ber­akhir tidak lama lagi.

Kajian yang dilakukan oleh Istitut Kesihatan Metrik dan Penilaian (IHME) di Universiti Washington turut menyaksikan jangka hayat penduduk dunia secara keseluruhan meningkat dalam tempoh lima tahun iaitu 73.8 tahun pada 2016 kepada 77.7 tahun pada 2040.

Ketua pengkaji, Kyle Foreman berkata, terdapat lima faktor yang boleh mempengaruhi jangka hayat seseorang manusia.

Antaranya penya­kit darah tinggi, berat badan berlebihan, gula tinggi dalam darah, pengambilan alkohol serta tembakau secara berlebihan.

“Selain itu, kualiti udara yang kotor juga menjadi pendorong kepada jangka hayat yang lebih pendek,” katanya.

Selain Sepanyol dan Jepun, beberapa negara lain bakal memperoleh jangka hayat panjang termasuk Singapura, Switzerland, Portugal, Itali, Israel, Australia dan Luxermbourg. – AGENSI