Dalam ucapan pertamanya selepas rusuhan yang kini memasuki hari keempat, Hassan menggesa supaya rakyat Iran bertenang dan tidak membuat keputusan terburu-buru.

Katanya, rakyat berhak membantah atau mengkritik sebarang tindakan pihak berkuasa, namun menegaskan, beliau tidak akan bertolak-ansur terhadap mana-mana pihak yang masih berdegil.

Hassan berkata, antara bentuk ‘kedegilan’ itu termasuk merosakkan harta awam, melanggar peraturan awam serta mencetuskan huru-hara dalam kalangan masyarakat.

Beribu-ribu penunjuk pe­rasaan berhimpun sebagai tanda bantahan terhadap kepemimpinan Hassan dengan beberapa pertempuran dilaporkan tercetus antara orang awam dan anggota polis sejak beberapa hari lalu.

Setakat semalam, sekurang-kurangnya tiga orang disahkan terbunuh manakala lebih 200 lagi ditahan di beberapa lokasi di seluruh Iran.

Difahamkan, krisis yang berlaku kali ini adalah yang paling buruk sejak 2009 iaitu ketika era pentadbiran Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

Sementara itu, keganasan de­mi keganasan dilaporkan tercetus di Shahin Shahr, tengah Iran apabila kumpulan penunjuk pe­rasaan dirakam menyerang anggota polis, menterbalikkan serta membakar kenderaan.

Satu rakaman video yang diambil di tengah Teheran pula menunjukkan orang ramai melaungkan slogan: ‘Jatuhkan pemimpin diktator!’ yang dipercayai merujuk kepada pemimpin ter­tinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Dalam perkembangan ber­kaitan, pendakwa raya Teheran, Abbas Jafari Dolatabadi memberitahu, sesetengah penunjuk perasaan yang ditahan mengakui terbawa-bawa dengan emosi ketika membakar masjid dan bangunan milik kerajaan.

“Selepas ribuan rakyat Iran mati syahid semata-mata untuk tujuan revolusi (1979), Iran kini dilihat hampir kembali kepada zaman gelap iaitu ketika peme­rintahan (dinasti) Pahlavi,” ujar­nya. – REUTERS