Sandiaga berkata demikian selepas mengadakan perjum­paan bersama beberapa parti politik gabungan di kediaman Prabowo, di sini semalam.

Beliau berharap tiada sebarang konflik berlaku sehingga boleh mencetuskan pergaduhan menjelang hari pengundian yang dijangka berlangsung pada April ini.

“Sampaikan maklumat yang tenang-tenang sahaja kerana kita sudah semakin menghampiri penghujung kempen. Saya tidak mahu ada sebarang kontroversi atau serang menyerang antara kedua-dua pihak.

“Kita perlu pastikan pilihan raya kali ini berjalan dengan bebas dan secara langsung,” katanya.

Dalam pada itu, Sandiaga sebagaimana lapor Detik News menjelaskan sebab beliau se­ring mengadakan kempen secara bersendirian tanpa bergandi­ngan dengan Prabowo.

Katanya, hal itu bagi memastikan beliau dan Prabowo dapat menarik lebih banyak undi daripada masyarakat.

“Kempen yang dilakukan oleh saya dan Prabowo saling melengkapi dan kami tidak melebihi antara satu sama lain,” katanya.

Kedua-dua calon tersebut akan berkempen bersama di Pulau Jawa tidak lama lagi.

Jelasnya, tidak ada salahnya jika mereka tidak melakukan kempen secara bersama asalkan matlamat perjuangan dapat disampaikan terus dan jelas kepada masyarakat Indonesia.

Kenyataan itu juga mendapat sokongan daripada jurucakap BPN, Ahmad Muzani yang memaklumkan bahawa kempen berasingan bagi Prabowo dan Sandiaga sudah ditentukan sejak awal lagi. – AGENSI