Polis Thailand meningkatkan kawalan keselamatan di beberapa kawasan tarikan utama di ibu negara termasuk lapangan terbang berikutan laporan rancangan letupan bom genap dua bulan selepas kejadian sera­ngan maut yang menggegarkan wilayah selatan negara ini.

Namun kerajaan junta enggan mendedahkan kumpulan yang terlibat dan menolak cadangan serangan itu menyasarkan golongan pelancong.

“Pegawai sedang melaksanakan tugas dan kita semua harus yakin dengan mereka serta tidak perlu panik,” tegas Prayuth.

Pengarah Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand, Thawip Netniyom mengesahkan, sebuah kumpulan bersenjata me­rancang serangan bom menggunakan kereta di sebuah wilayah berhampiran Bangkok.

“Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan mengarahkan agensi-agensi keselamatan mengesan dan memantau sebarang bentuk pergerakan yang luar biasa termasuk memantau bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakan bom.

“Mengapa menyasarkan Bangkok? Mereka mungkin inginkan impak yang besar,” katanya tanpa memberi maklumat lanjut mengenai kumpulan yang merancang plot serangan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Negara, Srivara Ransibrahmanakul dalam satu sidang media semalam memberitahu, polis menerima maklumat risikan mengenai kemungkinan serangan di tiga lokasi di ibu negara dan wilayah berhampiran yang dirancang dilakukan pada 25 hingga 30 Oktober ini.

Wilayah selatan Thailand menjadi sasaran siri serangan bom sejak beberapa minggu lalu termasuk kejadian di kawasan pelancongan pada 11 dan 12 Ogos yang mengorbankan empat orang serta mencederakan berpuluh-puluh yang lain termasuk warga asing.

Namun Thawip memaklumkan, pihaknya tidak dapat memastikan kaitan antara rancangan serangan terbaharu itu dengan insiden pada Ogos lalu.

Polis juga sedang mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan di Bangkok yang kini menjadi tuan rumah kepada mesyuarat serantau dihadiri oleh beberapa pemimpin dunia dan perniagaan.

“Saya telah mengerahkan anggota polis di kawasan sekitar Bangkok untuk memantau perkembangan, menyiasat dan mengumpul maklumat risikan terhadap kumpulan-kumpulan yang berpotensi mencetuskan masalah,” kata Pemangku Ketua Polis Wilayah 1, Leftenan Jeneral Charnthep Sesawet. – REUTERS