Beliau menegaskan, mana-mana negara yang terganggu dengan jerebu dan pernah terlibat merosakkan alam sekitar di Indonesia tidak boleh ‘bercakap’ semata-mata, sebaliknya perlu tampil membantu mengatasinya dan memulihkan kembali hutan dan alam sekitar.

“Saya bercakap agak keras agar jangan cuma bercakap sahaja. Sila datang dan bantu. Persoalan jerebu bukan hanya soal menangani api, tetapi juga hutan dan alam sekitar,” katanya kepada wartawan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York awal hari ini, seperti dipetik dari Kompas.com.

Menurut Jusuf, Indonesia sentiasa terbuka kepada negara-negara yang menerima kesan daripada jerebu, malah republik ini sudah melakukan sebaik mungkin usaha-usaha menangani bencana jerebu yang menjejaskan kualiti udara di Malaysia dan Singapura.

“Saya sudah maklumkan kepada Kementerian Hutan dan Lingkungan Hidup serta Badan Bencana Negara jika Singapura atau negara lain mahu membantu, silakan. Kita sudah usaha bermacam cara dan melibatkan Tentera Nasional Indonesia, pemadam kebakaran, dan siapa sahaja yang boleh mengatasi kebakaran hutan,” katanya.

Indonesia pada awal bulan ini menolak tawaran Singapura yang mahu membantu usaha memadamkan kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu, apabila Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Siti Nurbaya Bakar memberitahu bahawa Jakarta akan menangani situasi itu dengan cara sendiri.

Penolakan bantuan tersebut dipercayai dibuat selepas Indonesia meningkatkan usaha melawan kebakaran.

Dalam pada itu, Jusuf me­negaskan, persoalan jerebu sebenarnya berkait dengan keadaan hutan dan alam sekitar yang rosak akibat penebangan hutan untuk perladangan, kelemahan peraturan, dan pengawasan sehingga terjadi kerosakan hutan dan alam sekitar.

“Hutan dimusnahkan dan ditebang untuk perladangan. Hutan gambut dikeringkan dan dibakar sehingga tidak mudah untuk di­padamkan,” katanya.