Dalam notanya, Ekkapol Chantawong memohon maaf kepada semua ibu bapa pemain bola sepak remaja di bawah kelolaannya dan berjanji untuk menjaga mereka sebaik mungkin sehingga berjaya dibawa keluar.

“Kepada semua ibu bapa, anak-anak anda berada dalam keadaan baik. Saya berjanji akan menjaga mereka dengan sebaik mungkin.

“Terima kasih atas sokongan moral yang diberikan dan dengan itu, saya memohon maaf kepada semua ibu bapa,” tulisnya dan nota berkenaan diberi kepada pasukan penyelam sebelum di­siarkan dalam Facebook Tentera Laut Thailand.

Media tempatan sebelum ini melaporkan banyak pihak memuji sikap Chantawong yang dilihat bertungkus-lumus memastikan kumpulan remaja berkenaan dalam keadaan baik termasuk sudi berkongsi makanannya dengan mereka.

Namun, ada juga pihak mengkritik tindakan guru berkenaan yang bersetuju untuk memasuki gua berkenaan ketika musim hujan.

Selain itu, beberapa remaja yang terperangkap juga mengirim nota kepada ibu bapa yang setia menunggu di luar gua sehingga anak-anak mereka selamat dikeluarkan dari gua berkenaan.

Satu daripada nota tersebut dikirim oleh remaja yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Bew’.

“Ibu dan ayah jangan bimbang. Saya sudah terperangkap di dalam gua ini selama dua ming­gu, tapi saya akan keluar dengan selamat dan membantu ibu serta ayah berniaga,” tulisnya.

Satu lagi nota daripada remaja bernama Dom berbunyi ‘Saya dalam keadaan baik tapi cuaca di sini sejuk sedikit,’.

Dalam pada itu, kumpulan remaja yang berusia dari 11 hingga 16 tahun itu turut diajar asas menyelam sebagai langkah persedia­an sekiranya operasi menyelamat secara mengejut diperlukan.

Pasukan penyelamat maklum bahawa kumpulan remaja berkenaan tidak bersedia untuk menyelam, terutamanya apabila perlu melalui laluan sempit dan berliku.

Sementara itu, ketua penyelamat Narongsak Osottanakorn berkata, keadaan kini 'pa­ling sesuai' untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap sebelum turun lagi hujan dan mening­katnya gas karbon dioksida.

“Dari sekarang hingga tempoh tiga atau empat hari lagi, keadaan amat sesuai dari segi tahap air dalam gua, cuaca dan kesihatan remaja berkenaan

“Kami perlu membuat keputusan yang jelas apa yang boleh kami dilakukan," kata beliau.

Ketua penyelamat itu berkata, pihaknya telah menyalurkan paip panjang untuk membekalkan oksigen ke ruang gua yang dihuni mangsa berkenaan.

Sebelum ini, beliau berkata, lebih 100 cerobong di kawasan pergunungan digerudi di kompleks gua berkenaan sebagai usa­ha membawa remaja dan jurulatihnya keluar tetapi belum mencatat kejayaan.

Kaedah itu dilakukan dengan harapan dapat menyelamatkan mangsa dari arah atas dan tidak memerlukan mereka menyelam dalam laluan sempit.

Ketua penyelamat, Narongsak Osottanakorn memaklumkan bahawa ada cerobong digerudi sedalam 400 meter tapi mereka masih gagal mengesan lokasi mangsa.

“Kami menganggarkan lokasi kedudukan mereka sedalam 600 meter, kekurangan bantuan teknologi menyukarkan operasi ini,” ujarnya sambil menjamin bahawa kumpulan remaja ber­kenaan mempunyai bekalan oksigen yang mencukupi. – AFP