Janet dan suaminya, Wissam Al Mana, seorang ahli perniagaan warga Qatar menyambut anak lelaki mereka yang diberi nama Eissa Al Mana.

Jjurucakap Janet dalam satu kenyataan memberitahu: “Janet yang tidak mengalami sebarang masalah ketika bersalin, dan anaknya kini dalam keadaan sihat dan selamat.”

Adik perempuan mendiang Raja Pop, Michael Jackson, pada bulan April lalu menggemparkan peminatnya apabila menghentikan konsert jelajah dunia kerana sedang mengandung.

Proses kehamilan semula jadi amat jarang berlaku tetapi tidak mustahil dalam kalangan wanita yang mencecah usia pertengahan 40-an tahun, tetapi proses persenyawaan secara in vitro membolehkan wanita yang lebih tua mendapatkan anak.

Pada bulan Oktober lepas, majalah People menyiarkan gambar selebriti itu di pantai dengan perutnya yang membesar.

Jackson, yang dipercayai telah memeluk agama Islam, tidak banyak mendedahkan tentang kehidupan peribadinya dan perkahwinannya yang berlangsung pada tahun 2012 dengan hartawan Wissam, pemilik syarikat yang menjual produk fesyen mewah di seluruh negara di Teluk Arab.

Penyanyi itu menjadi terkenal di seluruh dunia pada akhir tahun 1980-an dengan album-album Control dan Janet Jackson’s Rhythm Nation 1814 yang menggabungkan muzik pop dan funk dengan hip-hop.

Jackson juga membuat kejutan apabila tampil di khalayak ramai dengan mengenakan pakaian menutup aurat. – AFP