Menurut portal berita mirror.co.uk, jambatan yang menelan belanja 114 juta pound (RM625.9 juta) itu dibina merentasi Sungai Beipan untuk menghubungkan bandar Xuan­wei di wilayah Yunnan dan Shuic­heng di Guizhou.

‘Tergantung’ hampir 565 meter di atas gaung, jambatan yang dikenali sebagai Jambatan Beipanjiang berfungsi untuk mengurangkan masa perjalanan selama hampir empat jam bagi pengguna jalan raya yang bergerak ke dua bandar berkenaan.

Jambatan sepanjang 1.33 kilometer dengan infrastuktur canggih serta empat lorong untuk menampung aliran trafik yang tinggi dalam satu masa itu mengambil masa hampir tiga tahun untuk disiapkan.

Baru-baru ini, rakaman video tentang pembinaan jambatan berkenaan yang menular di laman media sosial menunjukkan jurutera bekerja pada ketinggian yang cukup mengerikan.

Selain itu, antara rakaman vi­deo yang menarik perhatian ramai adalah video kerja-kerja memasang struktur keluli yang besar pada jambatan berkenaan oleh sepasukan jurutera berpengalaman.

Video tersebut menunjukkan kumpulan jurutera gigih me­nyambungkan struktur pada sebahagian besar kawasan jambatan yang hampir siap pada ke­tinggian yang menggerunkan dengan suasana kabus tebal.

Selain Jambatan Beipanjiang, China turut memegang rekod memiliki jambatan kedua dan ketiga tertinggi di dunia iaitu Jambatan Sungai Sidu dan Jambatan Puli.