Jakarta Post melaporkan, operasi itu secara rasminya diluluskan minggu lepas selepas polis memperoleh permit khas yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Jakarta, Mahkamah Daerah Jakarta Tengah serta Mahkamah Daerah Jakarta Selatan.

“Kita akan mulakan operasi ini dan surat saman akan dihantar terus ke rumah pesalah berdasarkan alamat yang tertera dalam sijil pendaftaran kenderaan mereka,” kata Pengarah Pengurusan Polis Trafik Jakarta, Senior Komisioner Halim Pagarra seperti dipetik daripada portal wartakota.tribunnews.com, semalam.

Menerusi peraturan baharu itu, anggota polis trafik bertugas akan menjalankan pemantauan menerusi CCTV secara berkala.

Mana-mana pesalah trafik yang melanggar undang-undang jalan raya termasuk melanggar lampu merah atau memandu bertentangan arus, nombor pendaftaran kenderaan mereka kemudian akan dirakam dan dicetak sebagai bukti.

Difahamkan, operasi itu bagaimanapun hanya memfokuskan nombor pendaftaran kenderaan yang didaftarkan di Jakarta sahaja.

“Ketika ini, sebanyak 800 buah CCTV telah dipasang di sekitar Jakarta dan kami akan terus bekerjasama dengan Agensi Pengangkutan Jakarta untuk menambah bilangan kamera itu di beberappa lokasi lagi khususnya di sekitar bandar ini,” kata Halim.

Halim juga menjangkakan kualiti kamera terbabit dapat dipertingkatkan serta boleh dirakam daripada pelbagai sudut.