Jae-in yang me­ng­angkat sum­pah minggu lalu, memberi amaran bahawa program nuklear dan roket Korea Utara berkembang pesat beberapa hari selepas Pyongyang melancarkan peluru berpandu jarak jauh yang disifatkan terbesar dimiliki negara itu.

“Kita hidup dalam realiti di mana terdapat kemungkinan yang tinggi pertempuran tentera di sepanjang sempadan laut di luar pantai barat Semenanjung Korea atau di sepanjang sempadan kawasan darat yang memisahkan mereka.

“Saya tidak akan bertolak ansur de­ngan provokasi Korea Utara dan ancaman nuklearnya,” kata­nya ketika mengadakan lawatan ke Kementerian Pertahanan sambil menggesa pasukan tenteranya memperketat kawalan di kawasan perairan negara itu.

Beliau sebelum ini menegaskan untuk membawa masalah tersebut ke meja rundingan, te­ta­pi selepas pelancaran peluru berpandu Ahad lalu, Jae-in me­ngubah pendirian dengan menyatakan dialog antara mereka hanya akan berlaku jika Pyongyang me­ngu­bah tingkah lakunya.

Korea Utara mendakwa roket itu mampu membawa kepala peledak nuklear, walaupun terdapat keraguan sama ada negara berkenaan mampu membina peledak yang cukup kecil untuk dimuatkan ke dalam peluru berpandu.

Negara tersebut telah melancarkan dua ujian atom dan berpuluh-puluh ujian peluru berpandu dalam usahanya untuk membina peluru berpandu yang mampu me­nyasarkan kepala peledak nuklear hingga ke Amerika Syarikat (AS).

Dalam pada itu, isu pema­sa­ngan Sistem Terminal Altitud Tinggi Kawasan Pertahanan (THAAD) di Korea Selatan dan ancaman oleh Korea Utara dijangka menjadi agenda utama apabila Jae-in bertemu Presiden AS, Do­nald Trump Jun ini.

Sidang kemuncak yang pertama antara kedua-dua pe­mim­pin berkenaan akan diadakan di Washington dan wakil Jae-in ber­kata, acara itu bertujuan untuk mengukuhkan hubungan peribadi antara kedua-dua negara.– AFP