Portal, Mail Online melaporkan, mereka mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk kehilangan berat badan, keletihan, pening kepala, dan masalah kitaran haid selepas menjalani ujian dadah tersebut.

Lebih memburukkan keadaan, ibu bapa kanak-kanak itu mendakwa, mereka tidak tahu bahawa anak mereka digunakan untuk ujian vaksin Gardasil 9 yang belum pernah dicuba kepada manusia.

Seorang mangsa, Aman Dhawan, 16, yang tinggal bersama keluarganya di penempatan setinggan Pancham Ki Phel di negeri Madhya Pradesh berkata, mereka menerima wang untuk uji kaji vaksin sebanyak 1,000 rupee (RM56.95).

“Doktor memberitahu, vaksin itu bagus untuk perlindungan dari­pada pelbagai penyakit termasuk malaria.

“Saya tidak takut untuk mene­rima suntikan, tetapi selepas itu saya tiada selera makan dan tidak mampu bergerak aktif,” katanya.

Syarikat Merck Sharp & Dohme Corp. berdepan dengan perbicaraan Mahkamah Tinggi India atas dakwaan menggunakan kanak-kanak untuk uji kaji dadah antibarah serviks itu.

Kes itu juga membabitkan vaksin, Cervarix yang dikeluarkan syarikat GlaxoSmithKline serta pertubuhan PATH dari Amerika Syarikat (AS).

Jawatankuasa kerajaan India yang menjalankan penyiasatan kes tersebut memaklumkan, syarikat itu mencabul amanah dan etika perubatan yang secara jelas melanggar hak asasi kanak-kanak dan remaja terlibat.