Keputusan itu dicapai selepas parti berkenaan mengadakan mesyuarat selama 13 jam dan juga pertemuan empat mata antara Zuma dan bakal penggantinya, Timbalan Presiden Cyril Ramaphosa.

Ramaphosa dipilih sebagai ketua ANC pada Disember tahun lalu dengan mengetepikan bekas isteri Zuma dan calon pengganti pilihan iaitu Nkosazana Dlamini-Zuma.

Kemenangan Ramaphosa itu meningkatkan tekanan kepada Zuma untuk menamatkan penggal kedua pemerintahannya yang berakhir pertengahan tahun depan.

Pemerintahan Zuma sejak tahun 2009 dicemari dengan skandal rasuah, pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan kadar pengangguran yang tinggi.

Menurut stesen penyiar SABC, Zuma diberi tempoh 48 jam oleh Ramaphosa untuk meletakkan jawatannya sebagai ketua negara.

Seorang pegawai kanan parti itu yang enggan dikenali memberitahu Reuters, Zuma bertegas tidak akan meletakkan jawatan.

“Kami membuat keputusan untuk memecat Zuma. Beliau belum dimaklumkan mengenainya,” kata pegawai terbabit.

Pada Jumaat lalu, salah seorang isteri Zuma, Tobeka Madima-Zuma memuat naik komen di Instagram, mendakwa Zuma merupakan mangsa konspirasi negara Barat.

“Beliau akan menamatkan apa yang dimulakannya kerana beliau tidak mahu menerima arahan melangkaui Lautan Atlantik,” kata wanita terbabit. – REUTERS